Blogger Themes

News Update :

REVOLUSI 1

Senin, 10 Maret 2008




“Revolusi, revolusi, revolusi,” bisik sesuatu yang terceruk ke dalam hati. Satu sudut yang tidak aku ketahui. Satu bahagian yang tidak aku sedari, yang pada mulanya padam baranya kini berapi-api. Ia meningkat lagi dan lagi.

Aku merenung ke luar jendela, menikmati hidangan buana yang luas terbentang ciptaan Malikul Alam. Aku cu
ba mencernakan hikmah di sebalik ciptaan dengan penuh berselera. Merenung dan mentafsir, sambil menghadiahkan tahmid dan tasbih yang tak terputus di dalam sukma. Bahkan, aku mengharap ikhtiar ini membuahkan cinta. Cinta yang sering disebut-sebut oleh sang perindu. Cinta yang paling agung, paling tinggi dan paling suci.

Ah, kenapa revolusi ini terus mengusik, mengganggu aku untuk menikmati kehebatan alam ini? Langsung tidak mahu ia pergi, malah ia semakin kerap berbisik. Aku tidak mahu dikacau sekarang, kerana mahu mentafsir sungai yang mengalir di celahan gunung, deras terjun dari puncak ke kakinya, kemudian melaju terus ke muara. Lawan wahai diriku, jangan biarkan ia menggugat tafsiran ciptaan Ilahi ini!

Berjaya. Tiada lagi bisikan.

Sungai, lahirnya di puncak. Asalnya dari hujan yang dicurah Mikail atas izin Rab. Kumpulan air kemudian menuruni celah, mulanya kecil dan akhirnya membesar dari legeh sampailah ke kuala. Air itulah yang mengimbangkan isi padu lautan sejak berkurun lamanya dahulu. Selepas itu, air yang sama akan dipanah oleh sinaran matahari, supaya bergetar zarah-zarahnya untuk mudah melayang di udara. Terbanglah ia meninggi, sampailah ia kembali b
erhimpun di atas sana. Lantas, Mikail mencurahkannya balik ke puncak bukit atas izin Ar-Razzaq. Namun, tiada siapa tahu bilakah bermulanya hujan itu. Hanya Dialah yang menyimpan rahsia-Nya.

Air memutar. Barangkali boleh juga aku letakkan di laut sebagai mulanya, diikuti tempatnya di awan dan kemudian menghuni sungai. Akhirnya, baliklah ia ke laut semula. Ya, ia berputar. Berlegar di antara tempat-tempat yang sama. Mula dari tempat mula, dan akhirnya juga di tempat mula juga.

Akal ayuhlah kita berfikir, atas apa rencana Al-Hakim menciptakan ia sebegini? Mengapa ia mesti mula
dan akhir pada tempat yang sama? Mengapa ia perlu kembali pada tempat asalnya? Mengapa dijadikan ia kosong sesarannya? Hai hati, bantulah sahabatmu ini, selaklah segala ilmu yang pernah dituntut dahulu, moga kita singkap tabir tujuan Al-Muqit menjadikannya begitu.

Seraya hati berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Ya, itu adalah makna dari sebahagian dari ayat Al-Quran.
Sebentar, biar aku susun ini satu persatu agar mudah difahami. ‘Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali,’ seperti berputar juga, datang dari tempat mula,
pulang kepada tempat mula. Air hujan datang dari laut, lalu kembali ke laut jua. Dan, kalau dilihat pada perkara lain, juga ada kaitan. Umpamanya darah, yang mulanya dipamkan dari jantung kemudian kembali ke jantung juga. Bumi akan kembali pada titik asal setelah setahun beredar mengelilingi matahari. Oh ya, sekarang aku sudah dapat! Malikul Manan telah mengitlakkan semua fitrah makhluknya melalui ayat itu. Aku diam, terus memuji Al-Malik.

Revolusi!” Jeritan bergema lagi, menggetarkan jiwa ini lagi. Ah, apa lagi kehendaknya sekarang, berulang-ulang mengganggu?
Aku cuba menyelak tafsir secara rambang untuk mencari di mana letaknya ayat tadi. Namun, aku singgah sebentar pada Al-A’raaf, ayat 59. Membaca tentang bagaimana Nabi Nuh menasihati pembesar kaumnya untuk kembali kepada ajaran Rab yang sebenar. Namun, mereka yang se
sat itu menuduh Nabi Nuh pula dalam kesesatan. Lalu, mengakulah Nuh bahawa dia seorang Rasul utusan Tuhan setelah dinyatakan kebimbangan akan azab yang bakal ditimpakan. Namun, angkara buta mata hati, mereka dikaramkan dalam bala banjir yang besar.

Aku meneruskan bacaan, lupa pada tujuan asal aku menyelak tafsir ini tadi. Kali ini Al-Haq meneruskan kisah tentang Nabi Hud pula. Rasul yang diutus dari kaumnya itu menyeru pada seruan yang sama, kembali kepada ajaran Rab yang sebenar. Tetapi, Nabi yang datang dari kaum mereka sendiri juga ingkar terhadap ajakan baginda. Mereka terus-terusan mahu mengekalkan sembahan nenek moyang mereka.

Hati tiba-tiba mengimbau tentang sirah Rasulullah membawa risalah pada umat baginda. Pemuka Quraisy juga ada menyebut tentang agama nenek moyang di mana mereka juga meyakini Allah sebagai Rab tetapi mensyirikkan-Nya dengan Latta dan Uzza, dua berhala perantara Rab dengan makhluk-Nya. Pendirian yang sama seperti umat-umat terdahulu ditegakkan kembali. Tapi, mengapa?

Aku segera membuka halaman yang pernah aku tandakan dahulu, surah Az-Zumar, kerana aku yakin jawapan itu ada di sini. Syukur, mula dari ayat pertama hinggalah ketiga Al-Aziz menjelaskan segala-galanya. Dia memberi peringatan, bahawa mereka telah mendampingkan Allah dengan sesuatu dalam ibadah yang sudah tidak suci. Jauh tersimpang dari apa yang dikehendaki oleh Al-Majid.

Aku cuba memahamkan semua ini kembali. Apa kaitannya ‘datang dari Allah dan kembali kepada Allah’ dengan peristiwa-peristiwa kaum-kaum setiap Rasul-rasul Mulia ini? Aku kembali merenung sungai yang deras menuruni bukit. Senyap-senyap hatiku berdoa, moga dikurniakan petunjuk As-Salam.

Aku cuba menghubungkan isi-isi ini dengan konsep manusia itu sendiri. Aku tautkannya dengan konsep akidah, rubbubiyah dan uluhiyah. Apa itu rubbubiyah dan apa itu uluhiyah? Yang aku faham ialah, rubbubiyah adalah daya faham yang dikurniakan Allah tentang adanya Allah sebagai Yang Maha Pencipta manakala uluhiyah pula ialah reaksi hamba-Nya terhadap daya faham itu. Wah, bukankah ini juga menepati idea ‘dari tempat mula ia bermula, dan di tempat yang sama ia berakhir.’ Satu putaran lagi di sini.
Uluhiyah ini seingat aku perbahasannya panjang dan apa yang aku tahu, seorang hamba itu tidak cukup sekadar mempunyai daya faham adanya Maha Pencipta sahaja, tetapi pemahaman itu perlulah dijelmakan pula dengan reaksi dan tindakan yang betul dan lurus menepati kehendak-Nya. Jika tidak, samalah jua seperti kaum-kaum yang pernah didakwahkan oleh Rasul-rasul terdahulu.

Aku diam sebentar, mahu bermuhasabah. Jiwa aku tiba-tiba bergetar, uluhiyah ini ada tautannya dengan tuntutan Ilah, pembuktian bahawa hambanya menafikan tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Ah, sebegitu banyak aku mungkiri! Aku kurang ikhlas, kurang cinta, kurang takut, kurang harap, kurang tawakal, kurang ingin, kurang gerun dan semacam lagi jenis kurang yang dituntut oleh Ar-Rafi’. “Oh Al-Ghaffar, ampunilah dosa-dosaku ini!”

“Revolusi!” Sekali lagi ia bergema. Ia menjerit kuat dan bergempita. Ini kali ketiga, dan ini yang paling bergaung bunyinya. Jadi, perlu aku beri perhatian pada teriakan yang kuat ini. Guru pernah berkata ada dua bisikan, satu dari malaikat, satu dari syaitan. Satu membawa kebenaran yang satu lagi membawa kebatilan. Maka, sahutlah bisikan kebenaran.

Andai benar bisikan revolusi, apa yang perlu direvolusikan? Adakah aku? Keluargaku? Masyarakatku? Bangsaku? Negaraku? Ataupun yang lebih besar, dunia ini? Revolusi oh revolusi. Kamus memberi makna revolusi ialah perubahan sesuatu secara mendadak. Mendadak? Sepantas manakah mendadak itu? Tunggu, tunggu. Aku perlu ketahui apa yang perlu diubah, sebelum mengira kepantasan revolusi itu sendiri.
Barangkali revolusi itu mahu tajdid. Tajdid itu kata cendekiawan, pergerakan mengundur ke belakang supaya rapat dan selari dengan apa yang diajar oleh Rasulullah. Malah, menurut ulama fiqah, amalan sekarang diancam oleh perkara-perkara bidaah sehingga Islam itu berlompang-lompang sehingga tidak nampak lagi kehebatannya. Bahana dibelasah teruk oleh penganutnya sendiri.

Barangkali revolusi ini mahukan pengembalian kepada ketauhidan yang sebenar. Mengesakan Al-Wahid dan menafikan yang lain. Al-Azim telah memberi peringatan berkali-kali tentang perkara ini seperti pesan Al-Qadir dalam surah Al-Jathiyaah, ayat 23. Namun, aku kira manusia masih tetap mahu bertuhankan nafsu. Tak kiralah nafsu makan, tidur, seks, kekayaan, harta, pangkat mahupun marah sekalipun. Manusia ini pada firasatku tidak sedar bahawa Al-Mutakkabbir itu Maha Besar dari segala-galanya, dan Dialah perlu didahulukan dalam setiap perkara. Aduh, berkata-kata begini seolah-olah berkata pada diriku sendiri pula.

Atau barangkali revolusi ini mahukan aku membawa kesedaran masyarakat supaya kembali bersatu tanpa ada pecah belah. Menjadi masyarakat yang setara tarafnya, mengikat hubungan berteraskan akidah yang sama yakni tiada Ilah selain Allah dan menjadikan Rasulullah itu sebagai panduan hidup. Tiada lagi istilah partisan, fahaman atau kebangsaan dan mengetahui bahawa semua umat Islam perlu bersatu di bawah satu jemaah. Dan apabila bersatu, baru langkah diambil itu padu dan barulah Muslim ini kembali digeruni seteru.

Tiga kebarangkalian revolusi, tapi tiga revolusi ini capaiannya adalah pada titik silang yang sama. Pertemuannya hanya satu dan hanya pada yang Satu. Mungkin aku dihadiahkan kesedaran ini untuk dikongsi, untuk keluarga, untuk masyarakat, untuk bangsa, untuk negara dan umat dunia. Aku perlu tanam tekad, untuk bermula, merangka resolusi untuk revolusi ini dan merealisasikan revolusi ini kerana aku bisikan ini bisikan kebenaran. Bisikan untuk membawa perubahan. Ya, perubahan yang besar!

Share this Article on :

0 komentar:

 

© Copyright AL-FATIH ZONE 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.